IPOH: Seramai 15 orang kontraktor mendakwa menjadi mangsa penipuan seorang lelaki yang menyebabkan mereka kerugian kira-kira RM2.5 juta.

Mereka mendakwa suspek yang berumur 31 tahun itu menggunakan dokumen palsu daripada Jabatan Perhutanan Negeri Perak, kononnya menawarkan projek seperti membekalkan drone, benih pokok hutan dan membersihkan kawasan.

Jurucakap kumpulan itu, Aznol Rizal Fatahal Karim, 39, berkata, dia dan keluarganya rugi kira-kira RM120,000 kerana secara berperingkat-peringkat sejak mengenali suspek pada 2013.

“Mula-mula kerja yang ditawarkan kepada saya memang tulin, hanya bayarannya tidak cukup tetapi saya mula sedar ditipu kira-kira dua minggu lalu apabila melihat ia menjadi viral di dalam Facebook,” katanya dalam sidang media di Balai Polis Sungai Senam di sini pada Isnin.

Menurut Aznol, mereka cuba mencari suspek tetapi rumah sewanya di Taman Ipoh Jaya telah dikosongkan dan rumah keluarganya di Teluk Intan juga seperti tiada berpenghuni.

“Tujuan kami membuat sidang media ini supaya orang lain tidak tertipu atau mana-mana mangsa yang merasakan diri mereka ditipu suspek yang sama, sila tampil buat laporan.

“Saya juga berharap keluarga dia pun dapat tampil untuk membantu,” ujarnya sambil memberitahu, terdapat mangsa yang terpaksa menggadai barang kemas isteri atau memuat pinjaman peribadi, kononnya untuk melabur dalam projek yang ditawarkan suspek.

Sementara itu, seorang lagi mangsa, Safaruddin Ari, 51, mendakwa, dia ditipu sehingga menyerahkan RM148,000 dalam tempoh dua minggu bermula hujung tahun lalu.

Bagi meyakinkan mangsa, suspek dikatakan turut mengeluarkan surat tawaran dan membawa seorang lelaki, kononnya Penolong Pengarah Bahagian Selvikultur, Jabatan perhutanan yang kemudiannya didapati palsu.

“Mujur saya tidak menyerahkan lagi RM24,000 seperti yang dimintanya kerana gagal menyerahkan surat tawaran asal yang saya minta,” katanya sambil berharap pihak berkenaan dapat mengambil tindakan segera bagi mengelakkan lebih ramai menjadi mangsa.

Sementara itu, Suara Perak cuba mendapatkan kenyataan pihak polis tetapi dimaklumkan bahawa polis sedang menjalankan siasatan dan sebarang kenyataan mungkin boleh mengganggu proses siasatan.