KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi menetapkan 15 Mac depan bagi tarikh keputusan permohonan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kerajaan untuk membatalkan saman yang dikemukakan UMNO berhubung tuntutan RM116.7 juta milik parti itu yang disita oleh polis di sebuah premis di Pavilion Residences, akan didengar pada 11 Februari depan.

Perkara itu dimaklumkan peguam Datuk Hariharan Tara Singh, yang mewakili UMNO kepada pemberita selepas kes disebut di dalam kamar Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Nik Hasmat Nik Mohamad, di sini, hari ini.

Turut hadir, Peguam Kanan Persekutuan, S Narkunavathy mewakili PDRM dan kerajaan.

Sebelum ini, permohonan itu difailkan atas alasan UMNO tidak mempunyai locus standi untuk membawa tindakan saman itu selain mendakwa wang yang disita masih dalam siasatan pihak polis.

Pada 3 Oktober 2018, UMNO melalui pegawai awamnya, Datuk Seri Abd Rauf Yusoh, memfailkan permohonan untuk mendapatkan dokumen daripada PDRM iaitu salinan laporan polis yang menjadi asas sitaan berkenaan, salinan senarai wang dan gambar wang yang disita, salinan semua gambar yang disita dan rajah kasar penemuan wang yang disita.

UMNO melalui Abd Rauf memfailkan saman pada 21 September lalu, dengan menamakan Timbalan Pengarah (Risikan/Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Sakri Arifin; Penolong Pesuruhjaya Polis JSJK, R Rajagopal; Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh; Ketua Polis Negara dan kerajaan sebagai defendan pertama hingga kelima.

Dalam penyataan tuntutannya, UMNO antara lain memohon perisytiharan bahawa penggeledahan dan penyitaan yang dilakukan di Tower B, Pavilion Residences, Jalan Raja Chulan pada 17 Mei 2018 adalah salah di sisi undang-undang dan mencabuli hak parti berkenaan.

Plaintif juga memohon perintah supaya wang RM116.7 juta dan wang RM43.3 juta yang juga didakwa milik parti itu dipulangkan kepadanya, selain menuntut ganti rugi am, teruk dan teladan.

Plaintif mendakwa, tindakan semua defendan itu menyebabkan UMNO kehilangan hak untuk menggunakan dana terbabit serta mengalami kehilangan dan kerugian – berita harian