IPOH – Sebanyak 15 daripada 20 pejabat dan jabatan kerajaan di Perak mendapat pengiktirafan lima bintang oleh Jabatan Audit Negara, baru-baru ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, antara jabatan itu termasuk pejabat Menteri Besar dan Setiausaha Kerajaan negeri serta beberapa perbadanan.

Malah, kata beliau, terdapat beberapa jabatan yang hanya kekurangan satu atau dua mata untuk mendapatkan pengiktirafan lima bintang.

Bagaimanapun, kata Dr Zambry, kerajaan negeri menerima teguran Ketua Audit Negara mengenai 12 jabatan serta pejabat kerajaan negeri di Perak yang masih tidak mematuhi peraturan dan prosedur utama berkaitan pengurusan kewangan.

“Kita terima teguran untuk memperbaiki kelemahan, ia bukanlah disebabkan oleh salah guna kuasa tetapi soal pengurusan dalaman,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Jasamu Dikenang 2017 di Hotel Casuarina @ Meru di sini pada Selasa.

Beliau diminta mengulas Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2016 Siri 1 yang dibentangkan di Parlimen hari ini.

Jabatan dan pejabat yang berkenaan adalah Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri Perak; Pejabat Pertanian Daerah Batang Padang Tapah; Pejabat Pertanian Daerah Kerian Parit Buntar; Pejabat Agama Islam Taiping serta Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Larut Matang dan Selama Taiping.

Turut terlibat ialah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Daerah Perak Tengah Seri Iskandar; Jabatan Perkhidmatan Veterinar Daerah Batang Padang Tapah; Sekolah Izzuddin Shah Ipoh; Jabatan Pertanian Daerah Perak Tengah Seri Iskandar; Pejabat Hutan Daerah Kinta/Manjung/Batu Gajah; Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Daerah Kinta Ipoh serta Sekolah Menengah Raja Dr Nazrin Shah Kampung Gajah.

Dr Zambry berharap agar jabatan dan pejabat berkenaan dapat memperbaiki teguran yang dikeluarkan oleh laporan tersebut.