IPOH: Seramai 15 duta dan pesuruhjaya tinggi asing dari pelbagai negara luar yang mengadakan lawatan ke negeri ini terpesona dengan keindahan alam semula jadi serta kemesraan yang ditonjolkan oleh rakyat Perak.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, lawatan terbesar yang pernah diadakan anjuran Kementerian Luar Negeri itu telah melahirkan perasaan takjub di kalangan perwakilan berkenaan terhadap keunikkan sebenar di negeri ini.

 

“Kementerian memilih kita sebagai negeri pertama untuk membawa duta-duta ini, mereka tinggal di sini selama dua hari dan mereka telah memuji kedudukan negeri kita, alam serta keindahan yang ada.

 

“Sehinggakan mereka katakan kepada saya mereka akan datang lagi, sama ada secara persendirian atau pun secara rasmi untuk melihat potensi sebenar yang ditawarkan,” katanya.

 

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri majlis makan tengah hari bersama 15 perwakilan berkenaan di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh.

 

Malah tambah Dr Zambry, Pesuruhjaya Tinggi dari Lesotho, Dr. Mabaputhi Moorosi-Molapo telah memuji layanan mesra yang telah diberikan oleh orang ramai kepada mereka.

 

“Sehinggakan digambarkan sikap senyum ditunjukan seorang pemandu bas yang membawa mereka menjadi satu tarikan.

 

“Bayangkan hanya atas sikap baik, cara pergaulan dan tutur kata yang baik sahaja boleh menjadi tarikkan kepada mereka,” ujar beliau.

 

Justeru itu, beliau berkata, tarikan berkenaan secara tidak langsung memberi satu kelebihan kepada rakyat negeri ini untuk terus diamalkan sempena Tahun Melawat Perak 2017.

 

15 perwakilan asing itu adalah dari Swaziland, Argentina, Belgium, Cuba, Sengal, Maldives, Fiji, Kemboja, Lesotho, Finland, Ecuador, Afrika Selatan, Nigera, Namibia dan India.