PARIT: Sempena program Permukiman Menteri Besar di Perak Tengah, Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Perak mengambil kesempatan menyampaikan sumbangan kepada 15 warga emas yang kurang bernasib baik.

Sumbangan berupa beras, keperluan harian dan wang tunai disampaikan Pengerusi PPN Perak, Datuk Nadzri Ismail di pekarangan surau Kampung Merua pada Rabu.

Nadzri berkata, sumbangan itu adalah salah satu tanggungjawab sosial korporat (SCR) pihaknya sebagai tanda terima kasih kepada kerajaan yang telah banyak membantu PPN.

“Kerajaan telah memberi tanah untuk membolehkan pertubuhan peladang mengusahakan ladang sawit sehingga kita mampu membuat kilang sekarang, apalah salahnya kita pula membantu kerajaan untuk membantu mereka yang memerlukan,” katanya kepada Suara Perak selepas majlis penyampaian itu.

Menurut Nadzri, selain bantuan, pihaknya juga merancang untuk membantu meningkatkan taraf ekonomi golongan tersebut melalui pembekalan benih tanaman seperti cili padi, limau kasturi atau sayur-sayuran yang sesuai untuk mereka.

“Kita bukan sahaja hanya memberi ikan, sebaliknya kita cuba memberi pancing supaya mereka boleh berusaha menanam apa yang dimakan, makan apa yang ditanam dan selebihnya jual,” tambah beliau.

Beliau memberitahu, bagi menjayakan program tersebut Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) diminta untuk mengenal pasti kumpulan sasaran di kawasan masing-masing.

Terdahulu, di dalam ucapannya, Nadzri berkata, PPN ditubuhkan hasil iniatif kerajaan untuk membantu meningkatkan ekonomi rakyat, khususnya orang Melayu di luar bandar yang jauh ketinggalan.

“Alhamdulillah, hasil bantuan kerajaan, hari ini PPN boleh berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan usahawan lain yang telah lama berkecimpung dalam perniagaan,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau berharap agar rakyat bersyukur dan terus memberi sokongan kepada kerajaan.

93871c57-d2b6-410c-856e-2f0b098bf2ce

8fb2f4db-f1cd-4c08-bf2b-fc42f74778f7

47091801-7890-4273-b8e8-119846400b47