LUMUT: Seramai 1,500 penerima masyarakat India yang terdiri daripada golongan miskin di Parlimen Lumut menerima sumbangan sempena perayaan Deepavali yang akan disambut pada 18 Oktober ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry berkata, penyampaian sumbangan itu yang diadakan setiap tahun merupakan program berterusan bagi membantu meringankan beban penerima dalam meraikan perayaan tersebut.

“Seperti perayaan lain yang disambut oleh setiap kaum dan agama di negeri ini, kerajaan negeri Perak tidak melupakan kaum India yang menyambut perayaan mereka iaitu Deepavali.

“Sumbangan berupa wang tunai serta makanan seperti beras dan keperluan dapur, diberikan kepada mereka yang dianggap layak menerima bantuan untuk membantu persiapan mereka sempena Deepavali akan datang,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan Deepavali bagi Parlimen Lumut di Dewan Sekolah Tamil Wawasan Pundut di sini pada Sabtu.

Dr Zambry yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor berkata, program tahunan itu diharapkan dapat membantu penerima dan ianya adalah tanda prihatin kerjaaan negeri terhadap masyarakat India di kawasan parlimen itu.

Katanya, penyampaian sumbangan itu dibahagikan mengikut tiga pecahan iaitu di kawasan Manjung, Sungai Wangi dan Pulau Pangkor.

Sementara itu, Ketua Wanita MIC Bahagian Lumut, R Yogeshwary berkata, sepanjang penglibatannya dalam MIC sejak 33 tahun lepas, kerjasama erat antara kerajaan negeri telah terjalin.

Katanya, beliau mengenali Dr Zambry sejak di bangku sekolah kerana pernah menjadi rakan sekelas isteri Menteri Besar, Datin Seri Saripah Zulkifli di SK Pangkor.

“Saya nampak dengan mata sendiri perkembangan Dr Zambry sejak beliau baru berjinak-jinak dalam politik sehingga menerajui barisan kepimpinan kerajaan negeri. Boleh saya katakan apa yang dilaksanakan oleh beliau datangnya dari hati yang ikhlas.

“Inilah Dr Zambry, inilah pemimpin berjiwa rakyat yang sebenar. Saya percaya kami Wanita MIC di Lumut lebih bersatu disebabkan beliau,” katanya ketika ditemui Suara Perak.