IPOH: Penularan wabak COVID-19 memberi kesan kepada pengusaha perniagaan butik dan pengantin di negeri ini apabila banyak tempahan terpaksa dibatalkan sekali gus menyebabkan mereka berada dalam keadaan tidak menentu.

Ini kerana larangan bagi mengadakan majlis keramaian seperti perkahwinan menyaksikan banyak pasangan mempelai membatalkan tempahan masing-masing.

Situasi yang berlaku ini memberi tamparan ekonomi kepada kira-kira 84 pengusaha yang melibatkan kira-kira 1,500 orang pekerja.

Pengerusi Persatuan Pengusaha Butik Pengantin Perak, Mohammad Rizal Razali berkata, pembatalan tempahan mula berlaku seawal Mac lalu berikutan penularan wabak berkenaan.

Menurutnya, jumlah itu meningkat apabila pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan mulai 18 Mac.

“Banyak tempahan telah dibatalkan, malah ada pelanggan membatalkan tempahan majlis yang dirancang pada bulan November dan Disember dan meminta wang deposit dikembalikan.

“Ini menambahkan kesukaran kerana tempahan terikat dengan perjanjian mengikut syarat dan peraturan yang telah ditetapkan.

“Pada masa sama, kita juga faham dengan situasi pelanggan, namun pada masa sama pengusaha pula berhadapan dengan masalah kewangan,” katanya di sini.

Selain memberi kesan kepada pengusaha butik dan pengantin, PKP turut memberi kesan kepada pihak-pihak yang berkaitan seperti katering, butik, jurufoto serta penyedia khemah dan audio.
Mohammad Rizal berkata, situasi sekarang menyebabkan pihak persatuan berharap ada jalan untuk membantu mereka yang terpaksa berhadapan dengan keadaan sukar ketika ini.

Katanya, rata-rata pengusaha kini hilang mata pencarian untuk tempoh enam hingga 12 bulan akan datang.

“Lebih parah lagi, kami juga perlu membayar sewa premis, melunaskan gaji pekerja dan desakan pelanggan untuk memulangkan wang pendahuluan.

“Justeru, kami amat berharap ada jalan penyelesaian terhadap situasi yang berlaku kerana perniagaan ini juga turut menyumbang kepada ekonomi setempat,” ujarnya.