IPOH: Lima syarikat peneraju Perkhidmatan Perniagaan Global (GBS) akan beroperasi di Ipoh mulai suku ketiga tahun ini yang akan menawarkan lebih 1,500 peluang pekerjaan berpendapatan tinggi.

Inisiatif GBS@Ipoh dipacu oleh Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dengan kerjasama kerajaan negeri Perak.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, dalam lima tahun pertama, GBS@Ipoh dijangka menarik pelaburan berjumlah RM486 juta.

“Antara sektor yang terlibat dalam semua syarikat ini adalah adalah dalam bidang kewangan; sumber manusia; proses automasi robotik; perancangan sumber perniagaan dan teknologi maklumat, termasuklah analitik data besar (Big Data Analytics), pembangunan perisian, ‘Cloud Computing’ yang berteraskan kepada Revolusi Industri Keempat,” katanya.

Beliau ditemui selepas majlis bertukar-tukar Memorandum Persefahaman antara wakil lima syarikat tersebut dan Ketua Eksekutif NCIA, Datuk Seri Jebasingam Issace John di Ipoh pada Jumaat.

Lima syarikat itu ialah DigitalQ Solutions Sdn Bhd., Puncak Tegap Sdn. Bhd., Revoluteq Sdn. Bhd., TecCSA Sdn. Bhd. dan Volgo Sdn. Bhd.

GBS@Ipoh adalah sebahagian daripada inisiatif GBS@NCER yang akan menyokong kluster-kluster ekonomi yang dipromosikan di bawah NCER seperti pembuatan, perniagaan-agro, pelancongan dan logistik.

Inisiatif ini bakal mengembalikan daya tarikan Ipoh sebagai lokasi pilihan kalangan golongan ekonomi digital milenia untuk bekerja.

Ahmad Faizal berkata, pelaburan itu dijangka menjana lebih banyak aktiviti ekonomi di Ipoh, mengurangkan aliran keluar modal insan dan pada masa sama menarik rakyat Perak kembali berkhidmat di negeri sendiri.

Menurutnya, statistik menunjukkan menunjukkan 22.7 peratus daripada sejumlah 20,341 graduan di Perak masih menganggur.

Sementara itu, Jebasingam Issace John berkata, lebih banyak syarikat GBS dijangka beroperasi di Ipoh kerana faktor kos yang rendah berbanding Kuala Lumpur dan Pulau Pinang di samping kemudahan infrastruktur yang ada.