Oleh:Nazialita Geynna Maharan

GERIK: Setelah terkandas selama tiga hari, lebih 1,500 penduduk dari empat kampung di sekitar Gerik akhirnya lega apabila sebuah jambatan sementara telah dibina bagi menghubungkan mereka dengan pekan Gerik.

Kesemua penduduk yang terdiri daripada Kampung Bongor, Kampung Durian Burung, Kampung Pecah Batu dan Kampung Umbut itu kini bersyukur kerana jambatan “Bailey Kompak 200” ehsan dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang dibina merentangi Sungai Pieh kini sedikit sebanyak memudahkan kerja harian.

5be339fa-b833-4e9a-adf8-21d5540255b1Panglima 2 Briged Jen Datuk Mohd NIzam Jaffar berkata jambatan itu dibina bagi menggantikan jambatan Sungai Pieh yang sebelum ini runtuh berikutan hujan lebat pada Isnin.

Katanya, kerja-kerja pemunggahan komponen jambatan itu dilakukan sejak awal pagi Selasa lepas dan ianya merupakan aset terbaru ATM yang digunakan di Perak.

“Kami menerima laporan mengenai paras air Sungai Pieh yang naik mendadak dan menyebabkan jambatan runtuh daripada pihak Majlis Keselamatan Negeri Hulu Perak.

“Kami kemudiannya telah mengajukan perkara ini kepada pihak kejuruteraan ATM, sebelum Pegawai Memerintah 4 Rejimen Sempadan(RS) digerakkan ke lokasi bagi bantuan awal dan mengenal pasti kerosakan,”katanya dalam satu kenyataan media setelah melakukan tinjauan pada lokasi kejadian.

Jambatan Sungai Pieh merupakan satu-satunya laluan kenderaan dan pejalan kaki malah pelajar sekolah bagi menghubungkan penduduk daripada empat kampung berkenaan dengan Felda Bersia dan Gerik.

ef5ea9db-3aa7-4b7f-b5ac-43748232a158

Jambatan yang sebelum ini dibina menggunakan simen telah runtuh dan difahamkan bakal digantikan dengan sebuah jambatan baharu bernilai RM600,000.