BATU GAJAH: Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak mengeluarkan 155 notis larangan berserta sita sepanjang operasi ‘cegah jatuh, cegah runtuh’ yang dijalankan baru-baru ini.

Operasi sebulan dari 25 Februari 2019 hingga 25 Mac itu turut menyaksikan dua tapak pembinaan disita secara keseluruhan kerana pelbagai kesalahan.

Pengarah JKKP Perak, Ir Zamzuri Maarof berkata, operasi bertujuan untuk menilai tahap pematuhan industri pembinaan terhadap perundangan yang tertakluk dalam Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, Akta Kilang dan Jentera 1967 serta Peraturan Kilang dan Jentera (Kendalian Bangunan dan Kerja-kerja Binaan Kejuruteraan (Keselamatan), 1986.

“Fokus operasi adalah untuk menjalankan penguatkuasaan terhadap aktiviti kerja- kerja konkrit, bekerja di tempat tinggi dan pemantauan terhadap Pengurus Projek dan Pegawai Keselamatan dan Kesihatan di tapak bina,” katanya ketika menutup operasi di sebuah tapak binaan di sini, pada Selasa.

Menurutnya, selain itu, 65 notis pembaikan dan 68 surat arahan telah dikeluarkan bagi pelbagai kesalahan yang memerlukan penambahbaikan segera oleh pihak majikan atau kontraktor.

Beliau memberitahu, antara kesalahan dilakukan adalah tepian terbuka yang melibatkan kerja-kerja di tempat tinggi, lubang terbuka yang tidak ditutup, pendawaian elektrik, pemasangan perancah, pelantar kerja dan laluan ke tempat kerja yang tidak selamat.

Katanya, susulan operasi yang dijalankan terhadap 30 tapak pembinaan itu, kertas siasatan telah disediakan bagi 5 kes
pendakwaan dan 96 kes kompaun terhadap majikan dan individu di tapak bina.

“Tindakan pendakwaan dikenakan terhadap majikan yang degil seperti gagal melantik Pegawai Keselamatan dan Kesihatan di tapak projek bernilai RM20 juta ke atas dan ingkar notis yang telah dikeluarkan oleh pihak JKKP.

“Manakala bagi kesalahan yang dikenakan tindakan kompaun adalah tepian/ lubang terbuka, pendawaian elektrik tidak selamat, perancah/ pelantar kerja tidak selamat, gagal memakai peralatan perlindungan diri dan lain-lain kesalahan,” ujarnya.

Dalam pada itu, buat pertama kali, pihak JKKP Perak turut mengambil tindakan kompaun dan pendakwaan kepada individu yang terlibat dengan projek pembinaan tetapi gagal menjalankan tanggungjawab seperti yang termaktub di dalam akta dan perundangan di bawah peruntukan Akta Kilang dan Jentera 1967 dan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

Menurut Ir Zamzuri, seorang pengurus projek telah dikompaun RM20,000 kerana melantik operator kren menara yang tidak berdaftar dengan jabatan.

Pada tahun 2018, JKKP Perak telah mengambil 5 tindakan pendakwaan dengan jumlah denda RM 70,000 dan mengeluarkan 152 kompaun dengan jumlah kompaun sebanyak RM 212,000 kepada majikan di sektor pembinaan.

“Jabatan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana majikan atau individu yang gagal menjalankan tanggungjawab masing-masing bagi memastikan tapak bina dan kawasan berhampirannya selamat dan kondusif kepada pekerja dan orang awam yang mungkin terdedah kepada aktiviti di tapak bina,” ujarnya.