KUALA TERENGGANU : Tiga wanita antara 16 individu yang ditahan selepas menjual pelbagai jenis mercun dan bunga api di sekitar daerah ini dan Kuala Nerus membabitkan rampasan bernilai RM10,000.

Semua yang ditahan berusia 20 hingga 50 tahun dalam operasi membanteras penjualan bahan berbahaya itu di sekitar pasar dan bazar Ramadan dalam tempoh 11 hari sejak 1 Jun lalu.

Ia membabitkan 19 kes di beberapa lokasi seperti Chabang Tiga, Batu Enam, tapak Bazar Ramadan Tok Adis di Kuala Ibai, Batu Rakit dan Gong Badak.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Suffian Sulaiman berkata, siasatan mendapati semua yang ditahan menjalankan urus niaga menjual mercun dan bunga api di sekitar pasar serta tapak Bazar Ramadan tanpa permit.

Beliau berkata, kebanyakan yang ditahan bertindak mempamerkan jenis bunga api dan mercun tidak berbahaya sahaja di atas meja manakala selebihnya disorokkan di bawah meja bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

“Ada antara yang ditahan hanya mengeluarkan jenis mercun dan bunga api apabila diminta pelanggan yang membuat tempahan awal sebelum itu bagi mengelak ditahan.

“Siasatan mendapati semua yang ditahan tidak mempunyai rekod lampau dan kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu di sini, hari ini – berita harian