BATU GAJAH: Sebanyak 16 buah kereta mengalami kerosakkan selepas dihempap dua tiang lampu jalan dalam satu kemalangan pelik melibatkan sebuah lori tanker simen dekat Laluan Saujana 1, Batu Gajah awal pagi Isnin.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, ACP Mohd Nasri Omar berkata, kejadian jam 1.30 pagi itu berlaku ketika lori tersebut dalam perjalanan dari Batu Gajah ke Ipoh.

“Ketika melalui deretan kedai jual kereta terpakai, penutup tangki lori yang berada di atas itu terbuka dan tersangkut pada kabel tiang lampu.

“Perkara itu tidak disedari oleh pemandu jadi dia pun terus berjalan sehingga menyebabkan dua tiang lampu itu diseret dan jatuh menghempap 16 buah kereta berdekatan,” katanya.

Beliau menambah, antara kerosakkan yang dialami kesemua kenderaan itu adalah bumbung, cermin depan dan bahagian badan.