IPOH – 16 rumah rosak akibat ribut di dua kampung berasingan di negeri ini melibatkan daerah Perak Tengah dan Hilir Perak dalam kejadian antara jam 5.30 hingga 6 petang semalam.

Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah Perak Tengah melaporkan, kejadian ribut di daerah tersebut berlaku di Kampung Sungai Timah, Kampung Gajah, yang menyebabkan 11 buah rumah rosak teruk.

“Seramai 11 buah keluarga melibatkan 25 orang mangsa mengalami kerosakan rumah di bahagian bumbung hingga menyebabkan mereka terpaksa berpindah.

“Tiada pusat pemindahan sementara (PPS) di buka di daerah ini kerana semua mangsa telah berpindah menumpang ke rumah saudara mara,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Bumbung tersepit antara tiang elektrik selepas ditiup ribut di Kampung Sungai Kerang, Teluk Intan. – Foto ihsan APM Hilir Perak
Tambahnya, pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga mengagihkan bantuan bencana kepada mangsa terlibat antaranya toto, tikar, kain batik, kain pelikat dan selimut.

Sementara itu, di Daerah Hilir Perak, lima buah rumah di Kampung Sungai Kerang, Teluk Intan rosak dan sebuah PPS dibuka di Dewang Orang Ramai, Kampung Sungai Kerang yang menempatkan tiga mangsa dari sebuah keluarga.

Kejadian ribut berkenaan juga turut menerbangkan bumbung salah sebuah rumah hingga tersepit di antara tiang elektrik di bahu jalan yang menjadi perhatian penduduk kampung – sinar harian