IPOH – Seramai 1,600 sukarelawan telah direkrut untuk membantu tugas dan pengurusan Sukan Malaysia (SUKMA) ke-19 bagi memastikan temasya itu berlangsung dengan jayanya serta membentuk imej Perak sebagai negeri yang bersih.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan, Howard Lee berkata, sukarelawan yang telah diberi latihan sebanyak dua kali sejak April lalu itu akan merangkumi sembilan daripada 14 jawatankuasa yang dibentuk khusus untuk penganjuran Sukma.

“Satu pasukan bergerak ‘Green Team’ dengan kerjasama Pihak Berkuasa Tempatan ditubuhkan bagi memantau tahap kebersihan di semua lokasi pertandingan.

“Bagi pihak kerajaan negeri, kami memandang serius kepentingan dari aspek kebersihan dan keindahan yang membentuk sebahagian daripada imej kita sebagai tuan rumah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan titah diraja sempena persidangan dewan negeri ke-14, penggal pertama, mesyuarat ke-2, di sini pada Isnin.

Tambah Howard lagi, pihak PBT juga telah digerakkan untuk mengindahkan lagi lanskap di bandar, pekan dan laluan utama yang menjadi kegunaan tempat berlangsungnya acara-acara sukan.

“Kita sambut baik cadangan yang disuarakan sebelum ini agar penganjuran Sukma Perak dapat mempamerkan imej yang baik dengan mengamalkan budayamenjaga kebersihan di setiap lokasi pertandingan,” ujarnya.

Mengulas mengenai sasaran Perak untuk Sukma kali ini, beliau berkata Perak telah menetapkan untuk meraih 50 pingat emas dan berada dalam kelompok tiga teratas secara keseluruhan.

“Negeri Perak akan menyertai sebanyak 29 jenis sukan yang melibatkan atlet
seramai 578 orang.

“Di antara sukan-sukan yang dikenalpasti untuk menyumbang pingat adalah menembak, olah raga, angkat berat, judo, silat, bola baling, hoki dan bola sepak,” tambah Howard.