SHAH ALAM: Polis Selangor menahan 166 individu yang dipercayai terbabit dalam kegiatan perjudian Piala Dunia 2018 menerusi Op Soga bermula 15 Jun hingga 8 Julai lalu.

Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor berkata, mereka ditahan dalam 146 serbuan membabitkan 16 daerah di negeri itu.

Menurutnya, sebuah premis di Bandar Damai Perdana, Kajang yang dijadikan pusat pengiraan pertaruhan turut diserbu sepasukan anggota polis 30 Jun lalu.

“Dalam serbuan di premis itu, polis merampas 17 CPU, 34 skrin komputer, 14 telefon pintar dan sebuah modem.

“Seramai 11 individu iaitu sembilan warga tempatan dan dua warga asing turut ditangkap di premis berkenaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat.

Mazlan berkata, jumlah rampasan wang tunai RM27,900 dan jumlah pertaruhan yang direkodkan menerusi semua serbuan itu RM1.2 juta.

“Sebanyak 146 kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 6(1), Seksyen 6(3) dan Seksyen 4(1) Akta Pertaruhan 1953.

“Polis akan meningkatkan operasi menjelang perlawanan akhir Piala Dunia bagi mengawal aktiviti perjudian ini,” katanya – berita harian