JOHOR BAHRU: Mabuk dikenal pasti sebagai punca seorang lelaki mengamuk di sebuah kedai makanan laut di Stulang Laut di sini Sabtu lalu.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, susulan kejadian itu pihaknya menahan 17 individu termasuk lapan wanita bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, semua yang ditahan berusia antara 20-an hingga 50-an membabitkan empat lelaki tempatan, lima lelaki Vietnam, tujuh wanita Vietnam dan seorang wanita Indonesia.

“Hasil siasatan di tempat kejadian dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), kami berjaya mengenal pasti individu yang terbabit dalam kejadian itu.

“Berikutan itu, kami menjalankan operasi dan beberapa siri tangkapan dilakukan di sekitar bandar raya ini yang berakhir jam 4 pagi tadi.

“Semua suspek akan dibawa ke mahkamah hari ini untuk mendapatkan perintah reman bagi membantu siasatan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.

Menurutnya, siasatan awal mendapati punca kejadian disebabkan mabuk dan beberapa suspek mendakwa tidak puas hati kerana terlalu lama menunggu makanan.

Semalam, video berdurasi 4 minit 26 saat tular di media sosial yang memaparkan pergaduhan sekumpulan lelaki dan wanita di sebuah kedai makanan laut di Stulang Laut.

Selain bertengkar, berlaku tolak-menolak serta membaling kerusi manakala pelanggan lain hanya melihat gelagat mereka sambil merakam perbuatan itu di telefon bimbit.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh – berita harian