PUTRAJAYA: Sebanyak RM311,000 berjaya dikumpulkan 17 kelab kereta tempatan hari ini untuk disumbangkan kepada Tabung Harapan Malaysia (THM) melalui program konvoi amal ‘Drive To Greater Malaysia’.

Sumbangan disampaikan Pengerusi Weekend Drive Group (WKG), Datuk Ahmad Nordin Abu Bakar, selaku penganjur program kepada anggota EXCO Selangor, Amirudin Shari ,di Dataran Putra di sini.

Ahmad Nordin berkata, program yang julung kali diadakan itu berjaya menghimpunkan lebih 300 kenderaan yang berkonvoi dari Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Lebuh Raya MEX ke Dataran Putra.

“Program ini hanya dirancang dua minggu lalu dan saya boleh katakan, ia sangat berjaya kerana dapat menggabungkan banyak kelab kereta dari seluruh Malaysia untuk menyumbang kepada THM, sekali gus mencatat sejarah dalam bidang permotoran negara.

“Sejak 1 Jun lalu, lebih RM300,000 disumbangkan terus daripada ahli kepada THM, manakala lebih RM10,000 dikutip melalui jualan kemeja T, topi dan pelekat kenderaan.

“Melalui program ini, kita mahu menunjukkan bahawa sebagai rakyat Malaysia, kita sedia untuk menyumbang kepada negara jika diperlukan,” katanya ketika ditemui pada program berkenaan.

Ahmad Nordin berkata, antara kelab kereta yang mengambil bahagian termasuk Kelab Audi Malaysia, Kelab VW Malaysia, Kelab BMW Malaysia, Lotus Official Club Malaysia dan Ranger Truckers Club.

Sementara itu, Amirudin berkata, sumbangan berkenaan sangat bermakna kepada negara dan semangat yang ditunjukkan rakyat melalui kutipan THM sangat menakjubkan.

Sehingga jam 3 petang semalam, kutipan THM sudah mencecah lebih RM54 juta sejak dilancarkan pada 30 Mei lalu – berita harian