TAIPING: Sebanyak 17 buah koperasi menerima bantuan dan pinjaman bernilai lebih RM8.5 juta sempena Program Permukiman Menteri Besar di Parlimen Bukit Gantang dan Taiping.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Hal Ehwal Pengguna, NGO dan Masyarakat Sivil negeri, Datuk Samsudin Abu Hassan berkata, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir sendiri menyerahkan cek pinjaman bernilai RM6 juta kepada tiga koperasi.
Menurut beliau, bantuan dan pinjaman itu membuktikan komitmen kerajaan untuk memperkasakan koperasi di negeri ini, selaras dengan matlamat Pelan Tindakan Strategik (PTS) Koperasi yang dibangunkan.

“Saya harap dengan kemudahan kewangan yang disediakan, koperasi boleh terus berkembang maju, sekaligus mampu membantu menjana pendapatan untuk ahli-ahli mereka,” katanya kepada Suara Perak selepas Program Ramah Mesra Bersama Koperasi dan Penyerahan Cek Bantuan di Hotel Taiping Perdana di sini pada Khamis.

Pada majlis itu, Samsudin menyerahkan cek berjumlah RM1.23 juta kepada lapan buah koperasi.

Menurut beliau, berdasarkan pelan tindakan strategi koperasi yang dibangunkan, kerajaan negeri mahu memperkasakan sekurang-kurangnya 50 peratus koperasi mikro di negeri ini menjadi lebih.

 

Beliau memberitahu, daripada 1,352 buah koperasi di negeri ini setakat ini, sebanyak 1,160 atau 86.3 peratus berada pada kategori mikro kerana memperolehi pendapatan tahunan kurang daripada RM200,000.

Samsudin berpendapat, bilangan itu sangat tinggi dan tidak mampu menyumbang kepada peningkatan ekonomi ahli-ahlinya.

Sehubungan itu, kata beliau, kerajaan negeri melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Negeri Perak telah membahagikan koperasi mengikut tiga kumpulan isu utama iaitu yang menghadapi masalah pentadbiran, kewangan dan perniagaan.

“Kita cuba kenalpasti masalah yang dihadapi koperasi-koperasi di negeri ini berdasarkan tiga isu itu dan cuba untuk membantu menyelesaikannya,” tambah beliau.