IPOH: Seramai 17 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Manjoi 2 dekat ini, mengalami keracunan makanan, selepas dipercayai makan nasi goreng di kantin sekolah, pada Khamis.

Mereka dilaporkan mengalami sakit perut, muntah dan cirit birit selepas makan nasi goreng di kantin ketika waktu rehat sekitar jam 10 pagi.

Murid terlibat dari Tahun 4, 5 dan 6 itu kemudiannya dibawa ke Klinik Kesihatan Manjoi untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Keadaan mereka dilaporkan stabil.

Beberapa mangsa menceritakan, nasi goreng itu rasa masam tetapi mereka tetap makan kerana telah membelinya.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains, Alam Sekitar Dan Penerangan negeri, Dr Abdul Aziz Bari mengesahkan kejadian itu.

Katanya, hasil pemeriksaan kesihatan mendapati keadaan pelajar terbabit tidak begitu serius dan kesemua mereka dibenarkan pulang.

“Jabatan Pendidikan Negeri Perak dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Malaysia sedang menyiasat isu ini dan perkembangan siasatan akan dimaklumkan kemudian,” ujarnya.