IPOH : Sebanyak 17 pasangan diijabkabulkan secara serentak dalam majlis Nikah Jama’ie Syarie kali ketujuh pe­ringkat negeri yang dianjurkan oleh Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) bersempena Hari Malaysia di sini hari ini.

Berlangsung di Masjid Sultan Azlan Shah, pasangan pengantin yang berumur dalam lingkungan 21 hingga 62 tahun itu hanya perlu mengeluarkan perbelanjaan sebanyak RM3,000.

Lebih istimewa, buat julung-julung kalinya, sepasang pengantin dipilih menerusi cabutan bertuah bagi menerima pakej tajaan menunaikan umrah sebanyak RM12,000 untuk dua orang oleh syarikat Al Haramain Global Tours and Services Sdn. Bhd.

Majlis dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan Islam, Industri, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan negeri, Asmuni Awi dan turut dihadiri oleh Timbalan Pengarah JAIPk, Harith Fadzilah Abdul Halim.

Terdahulu, majlis dimulakan dengan bacaan khutbah nikah sebelum pengantin lelaki dan perempuan masing-masing menunaikan solat sunat selepas kesemua pasangan itu dinikahkan.

Ahli keluarga terdekat yang hadir turut menyaksikan pene­rimaan mas kahwin serta penye­rahan tanggungjawab oleh wali kepada pengantin lelaki.

Kesemua pasangan raja sehari itu kemudian berarak ke Dewan Saidina Abu Bakar Institut Tadbiran Islam (Intim) Perak untuk menikmati jamuan makan dan majlis resepsi.

Selain menerima sijil perakuan nikah secara terus, setiap pasangan turut ditaja penginapan untuk satu malam di Hotel Tower Regency di sini.

Seorang pengantin, Muajam Saion, 62, berkata, dia melangsungkan perkahwinan kali kedua dengan pasangannya, Siti Habsah Mohd Isa, 57, pada hari ini bagi menunaikan wasiat isterinya yang telah meninggal dunia pada tahun 2016.

“Selain jimat berbelanja, kahwin beramai-ramai ini sebenarnya ada satu ‘tenaga’ berbanding kahwin seorang, jadi ada keberkatannya di situ,” katanya.

Bagi Norliya Amir, 31, pula, dia mengakui seronok dapat melangsungkan perkahwinan serentak dengan adiknya, Ghazali Amir, 24, bersama pasangan masing-masing dalam satu majlis yang sama.

“Saya sebenarnya merancang untuk berkahwin pada akhir tahun ini tetapi apabila mengetahui ada pakej kahwin beramai-ramai ini, saya tidak melepaskan peluang dan mengajak adik saya untuk menyertainya bersama.

“Pada saya, ia bukan sahaja murah malah sangat membantu serta mempermudahkan pasangan untuk mendirikan rumah tangga,” katanya.

– UTUSAN ONLINE