KAJANG: Tindakan dua anggota polis menyamar sebagai pelanggan sebuah premis karaoke dipercayai menjalankan aktiviti maksiat di Batu 11 di sini, malam tadi, membuahkan hasil apabila 17 wanita warga Vietnam ditahan.

Dalam serbuan jam 11.35 malam, anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Selangor itu terpaksa menyamar berikutan sukar memasuki premis terbabit yang dikawal ketat pihak pengurusannya.

Pegawai Turus D7, Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Deputi Superintendan Norhizam Bahaman, berkata setiap pelanggan hendak memasuki premis empat tingkat itu akan dikenal pasti melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dipantau pekerja premis.

“Hanya pelanggan tertentu atau mereka dibawa pelanggan lain, dibenarkan berhibur di premis itu yang dipercayai turut menjalankan aktiviti persundalan di dalam beberapa bilik rahsia di tingkat paling atas.

“Dua anggota kita yang berjaya memasuki premis itu mendapati wujud elemen maksiat apabila memesan dua wanita Vietnam sebagai pelayan melalui seorang wanita tempatan bertindak sebagai ‘mummy’ atau penjaga,” katanya selepas operasi berkenaan tamat awal pagi tadi.

Norhizam berkata, pihaknya mula melakukan serbuan apabila anggota yang menyamar mengesan wujud elemen penyalahgunaan dadah di premis itu antara pelanggan dengan pelayan di dalam bilik karaoke disediakan di tingkat dua dan tiga.

“Hasil pemeriksaan, lif digunakan di dalam premis membolehkan pelanggan menuju ke bilik karaoke, manakala tangga rahsia dari tingkat tiga ke tingkat empat bagi pelanggan menggunakan bilik khas melakukan hubungan seks.

“Selain wanita warga Vietnam, pihak kami yang dibantu D7 Polis Daerah Kajang turut menahan tiga lelaki dan seorang wanita tempatan disyaki penjaga serta pekerja, dan 12 lelaki serta tiga wanita tempatan dipercayai pelanggan di premis itu,” katanya.

Katanya, pihak polis turut merampas kondom, wang tunai resit pesanan, resit bayaran, walkie-talkie dan alat kawalan jauh di dalam premis tidak berlesen serta beroperasi sejak lima bulan lalu itu.

Siasatan dijalankan mengikut Akta Imigresen dan Seksyen 6(1) Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan.

Semua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang untuk tindakan lanjut – berita harian