KAJANG: Seramai 1,709 pelajar sekolah menengah didapati positif dadah dalam ujian saringan dilakukan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di 178 kawasan berisiko tinggi pada Januari hingga Oktober tahun lalu.

Ketua Pengarah AADK, Datuk Seri Zulkifli Abdullah, berkata pihaknya melakukan saringan terhadap lebih 41,000 pelajar sekolah menengah berusia antara 13 hingga 17 tahun di 178 kawasan berisiko tinggi di seluruh negara.

“Daripada jumlah itu, 1,709 daripada mereka didapati positif dadah. Kebanyakan mereka didapati menggunakan dadah jenis methaphetamine kerana ia lebih murah dan senang didapati.

“Sarawak adalah lokasi mempunyai jumlah pelajar sekolah menengah yang paling tinggi direkodkan positif dadah berdasarkan ujian saringan dilakukan di 178 kawasan berisiko tinggi.,

“Malah, kami mendapati terdapat perubahan trend penggunaan dadah jenis methaphetamine yang lebih tinggi iaitu sebanyak 61 peratus berbanding dadah lain selain penurunan penggunaan dadah jenis opiat menurun sebanyak 30 peratus,” katanya pada sidang media selepas melancarkan talian hotline AADK di Ibu Pejabat AADK di Jalan Maktab, di sini, hari ini.

Dalam majlis itu, Zulkifli melancarkan talian hotline AADK yang beroperasi 24 jam bagi membolehkan orang ramai menyalurkan maklumat mengenai aktiviti penyalahgunaan dadah dengan menghubungi talian 03- 89112233 atau 019-6262233.

Zulkifli berkata, pihaknya turut memberi tumpuan untuk menjalankan pemeriksaan saringan terhadap kakitangan di agensi awam dan swasta selaras dengan program Tempat Kerja Bebas Dadah (TEKAD) yang dijalankan sebelum ini.

“Sebelum ini, kami ada melakukan pemeriksaan saringan di agensi awam dan swasta, namun pada tahun depan, kami akan mempergiatkan program berkenaan dalam usaha membantu menyelamatkan kakitangan yang terjebak dengan dadah.

“Malah, AADK sendiri ada melakukan pemeriksaan saringan terhadap kakitangan agensi ini membabitkan 2,841 kakitangan atau 57 peratus daripada jumlah keseluruhan kakitangan kami. Daripada jumlah itu, empat kakitangan didapati positif dadah,” katanya.

Beliau berkata, daripada 178 kawasan berisiko tinggi itu, 86 lokasi bertukar menjadi menjadi kuning, manakala lima lagi kawasan bertukar menjadi hijau.

“Kami mengklasifikasikan kawasan berisiko tinggi kepada tiga kategori iaitu merah yang membawa maksud paling tinggi, kuning (sederhana) dan hijau (bersih).

“Daripada 178 kawasan berisiko tinggi itu, 87 kawasan masih lagi merah. Kami akan teruskan tumpuan kepada kawasan hijau kekal hijau, manakala kawasan kuning bertukar hijau selain menukar kawasan merah kepada kuning,” katanya – berita harian