SEPANG: Seramai 17,302 pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah di sekitar daerah ini menerima Bantuan Khas Awal Persekolahan 1Malaysia sebanyak RM100 seorang membabitkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM1.73 juta.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil, Shahrum Mohd Sharif, berkata seramai 10,283 penerima dari 39 sekolah rendah manakala 7,019 orang lagi membabitkan 12 sekolah menengah di sekitar Sepang.

Katanya, bantuan ini turut membabitkan empat sekolah Orang Asli iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Asli Bukit Tadom, Sungai Melut, Bukit Tampoi dan Bukit Bangkong bertujuan meringankan perbelanjaan ibu bapa penerima.

“Bantuan ini antara usaha kerajaan untuk membantu golongan berpendapatan rendah meningkatkan tahap pendidikan anak mereka khususnya yang tinggal di luar bandar,” katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan Bantuan Khas Awal Persekolahan 1Malaysia di Sekolah Kebangsaan Labohan Dagang di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Langat, Abdul Hamid Asanar; Pengerusi Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) SK Labohan Dagang, Datuk Sabari Misran dan Guru Besar, Siti Hajar Mohd Ali.

Pada majlis sama, Shahrum turut menyampaikan bantuan kepada lebih 300 pelajar yang turut dihadiri ibu bapa masing-masing.

Dalam Bajet 2018, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM45.9 bilion kepada Kementerian Pendidikan untuk perbelanjaan mengurus dan pembangunan termasuk Bantuan Khas Awal Persekolahan 1Malaysia kepada 3.2 juta murid daripada keluarga berpendapatan rendah.

Shahrum berkata, pihaknya menitikberatkan soal pendidikan di kawasan ini kerana hanya dengan pendidikan tinggi dapat mengubah masa hadapan keluarga, terutama daripada golongan miskin.

Selain bantuan berkenaan, katanya, golongan yang layak turut diberikan bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin berjumlah RM300 hingga RM700 supaya mereka dapat meneruskan pembelajaran di sekolah.-berita harian