KOTA TINGGI: Seramai 18 individu termasuk tiga wanita ditahan dalam Ops Rempuh di belakang rumah di Jalan Pantai, Sungai Rengit, di sini, semalam.

Serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi, pada jam 10.45 malam.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Ahsmon Bajah, berkata kesemua mereka yang berusia antara 18 hingga 79 tahun itu ditahan ketika leka bermain mahjong.

“Bertindak atas maklumat orang awam dan risikan, kami menahan 14 lelaki dan seorang wanita tempatan, selain seorang lelaki warga Indonesia serta dua wanita warga Singapura dipercayai penjaga serta pemain perjudian mahjong.

“Berikutan itu, kami merampas tiga set meja kayu, 18 kerusi plastik dan 237 batu mahjong. Selain itu, kami merampas 163 keping cip pelbagai warna, satu set cawan dan piring, lima biji dadu, empat biji pen hitam dan dua keping kertas putih,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Ahsmon berkata, polis turut merampas sebanyak RM55,787.32 iaitu RM53,031, SG$650 (RM1,981.24), AS$150 (RM627.82) dan BAHT 1160 (RM147.26) dipercayai hasil perjudian.

“Kesemua suspek dan barang rampasan dibawa ke IPD Kota Tinggi bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 6 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002),” katanya – berita harian