IPOH: Sebanyak 18 buah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menerima sumbangan daripada kerajaan negeri berjumlah lebih RM241,000.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Hal Ehwal Pengguna, Masyarakat Sivil dan NGO negeri, Datuk Samsudin Abu Hassan berkata, sumbangan itu sebenarnya telah diluluskan berdasarkan kepada permohonan yang diterima pihaknya sebelum ini.

Beliau berharap, sumbangan itu dapat digunakan oleh NGO berdasarkan hala tuju yang digariskan di bawah Pelan Tindakan Strategik Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO) 2016 – 2020.

“NGO negeri Perak sekarang sudah mempunyai hala tuju yang digariskan di bawah pelan strategik itu yang menggariskan sembilan fokus utama,” katanya ketika berucap di majlis penyampaian cek sumbangan itu di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.

Samsudin memberitahu, pihaknya mengadakan kerjasama dengan Institut Darul Ridzuan (IDR) untuk memberi latihan hampir setiap minggu, bagi memperkasakan lagi NGO di negeri ini.

“Kita berharap suatu hari nanti, NGO di Perak dapat berdikari tanpa mengharapkan bantuan daripada kerajaan negeri, mahupun kerajaan Persekutuan,” ujarnya.