TAPAH– 18 pendaki yang terkandas semasa mendaki Gunung Batu Putih di Batu 7 Kuala Woh,akhirnya ditemukan selamat oleh pasukan penyelamat, bagaimanapun salah seorang daripada mereka cedera di kaki kiri.

Menurut Ketua Polis Daerah, Suprintenden Wan Azharuddin Wan Ismail, mangsa yang cedera telah dibawa turun dengan bantuan helikopter bagi mendapatkan rawatan di Hospital Tapah.

Ujarnya lagi, baki pendaki yang ditemui akan turun berjalan kaki dari Gunung Batu Putih dan dijangka tiba di Kuala Woh kira-kira jam 1 pagi ini.

“Pihak polis mendapat maklumat lebih kurang jam 4 petang tadi dan terus menggerakan operasi mencari dan menyelamat, hasil daripada operasi itu telah berjaya menjejaki kumpulan mendaki ini di kawasan gunung.

“Pendaki yang cedera ialah seorang wanita dari Rawang, Selangor berumur 38 tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, kesemua mereka terdiri daripada Bumi Hijau Hiking Club dari Wangsa Maju Kuala Lumpur.