IPOH 21 Mei – Seramai 180 anggota penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak akan membuat pemantauan harga di seluruh negeri sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, A. Sivanesan berkata, pemantauan menerusi Skim Kawalan Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) itu akan berlangsung selama 30 hari yang bermula hari ini.

Katanya, pasukan tersebut juga akan dibantu oleh 79 Pegawai Pemantau Harga bagi memastikan pemantauan menyeluruh dilakukan di setiap premis perniagaan di negeri ini.

“Sebanyak 24 jenis barangan di Perak berada di bawah skim tersebut berbanding 21 jenis barangan sebelum ini di mana terdapat perubahan melibatkan ikan segar beku kembung, ikan selar dan ikan selayang selain kacang panjang, kacang tanah dan cili kering.

“Kesemua barangan ini mendapat permintaan yang tinggi oleh orang ramai, oleh itu kawalan harga dilakukan ke atas semua barangan tersebut bagi tujuan menstabilkan harga dan bekalannya dalam pasaran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan sempena SHMMP di Pasar Awam Tanjung Rambutan di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad dan Pengarah KPDNHEP negeri, Saifullizan Kamarul Zaman. – UTUSAN ONLINE