IPOH – Penemuan semula sebuah motosikal yang hilang dicuri di Pekan Bharu pada 2007 lalu antara  satu kejayaan polis dalam satu sekatan jalan raya menerusi Op Samseng Jalanan/Op Sekat dan Op Saman Parkir, semalam.

Operasi selama enam jam diketuai tiga pegawai dan 20 anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh dijalankan di Jalan Sultan Idris Shah, Persiaran Bandaraya, Sekitar kawasan Pusat Perdagangan Greentown dan Jalan SP Seenivasagam.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, sebanyak 188 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan jalan raya dalam pemeriksaan membabitkan 61 kereta dan van serta 127 motosikal.

“Antara kesalahan tertinggi yang direkodkan adalah tidak mempunyai lesen kenderaan iaitu 45 saman, kesalahan plat nombor kenderaan (37), Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh (20), cermin sisi (15) dan 11 kes membabitkan tali pinggang keledar.

“Polis menemui dan menahan motosikal yang mempamerkan nombor pendaftaran palsu dan menahan seorang penunggang motosikal yang didapati positif urin. Polis turut menemui dua motosikal yang ditinggalkan dalam operasi terbabit,” katanya – sinar