Kuala Kangsar: Sembilan belas penumpang bas ekspress cedera termasuk lima parah selepas bas dinaiki merempuh treler di Kilometer 257.7 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Perak, hari ini.

Dalam kejadian 2.30 pagi itu, bas dua tingkat yang dalam perjalanan dari Kangar, Perlis ke Klang, Selangor dipercayai hilang kawalan dan merempuh belakang treler membawa muatan getah.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar, Khairi Anuar Shaharuddin berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian pada 2.35 pagi dan sebaik tiba di lokasi mendapati terdapat 19 penumpang di dalam bas berkenaan.

“Lima penumpang wanita parah mengalami pelbagai kecederaan termasuk patah kaki, manakala 14 lagi cedera ringan.

“Dua pemandu termasuk pemandu kedua tidak mengalami sebarang kecederaan dan kemalangan itu mengakibatkan cermin depan bahagian kiri bas pecah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, bomba terdiri daripada sembilan pegawai dan anggota termasuk Unit Penyelamat dan Paramedik (EMRS) kemudian mengeluarkan mangsa yang parah dan menghantar mereka ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh, dekat sini bagi menerima rawatan.

“Kesemua mangsa parah duduk di tingkat atas bas dan bomba terpaksa memecahkan cermin di bahagian penumpang untuk mengeluarkan mangsa menggunakan pengusung.

“Mangsa parah kemudian dihantar ke hospital menaiki ambulans dan jentera EMRS,” katanya.

Khairi Anuar berkata, operasi yang diketuainya itu tamat pada 4.08 pagi.

-myMetro