IPOH: Menjelang sesi persekolahan yang akan dibuka pada 3 Januari 2017, seramai 191 pelajar miskin di dalam kawasan Parlimen Gopeng menerima bantuan beg, uniform dan alat tulis.

Bantuan disampaikan Ketua UMNO Bahagian Gopeng, Senator Datuk Hamzah Kassim dalam satu majlis khas di Dewan Serbaguna Kg Pengkalan Pegoh, dekat sini pada Ahad.
Hamzah berkata, sumbangan itu adalah dengan kerjasama Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBU) dan Yayasan Perak.

Sambil mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang telah mengilhamkan program ‘Back To School’ di Perak, beliau berkata, ia juga selaras dengan hasrat untuk memastikan tiada tertinggal, tiada terpinggir.

“Selain program ini, sebenarnya banyak lagi yang dilaksanakan oleh kerajaan untuk membantu rakyat yang kurang bernasib baik,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan itu.

 

pelajar-gopeng-dibantu-2
Hadir sama Ketua Pegawai Operasi YBU, Hairul Anuar Mohd Noor.

Sementara itu, di dalam ucapannya, Hamzah berkata, rakyat harus bersyukur dengan pelbagai bantuan yang disediakan oleh kerajaan.

Sehubungan dengan itu, beliau menasihatkan rakyat supaya jangan mudah percaya dengan pelbagai fitnah yang cuba disebarkan melalui media sosial.

“Kalau betullah pelbagai fitnah yang disebarkan itu, mustahil kerajaan dapat menyediakan pelbagai bantuan untuk rakyat di samping menyediakan bajet berbilion ringgit, semuanya untuk rakyat,” tambahnya.