JOHOR BAHRU: Seramai 193 peserta menyertai 31 projek perintis menerusi Projek Ekonomi Rakyat (ERA) Johor ke arah meningkatkan pendapatan golongan kurang berkemampuan.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata kerajaan negeri menerusi Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Takzim memperuntukkan sebanyak RM650,000 bagi menggalakkan konsep keusahawanan sosial itu.

Katanya, peserta yang membabitkan 10 daerah seluruh negeri ini dilaksanakan secara berkumpulan bagi memperoleh pendapatan sampingan, sekali gus mengukuhkan kedudukan ekonomi mereka.

“Projek ERA Johor berkonsepkan projek yang mudah, senang dijaga dan dilaksanakan oleh masyarakat. Kerajaan negeri mengambil cadangan yang dikemukakan pelajar universiti awam (UA) yang terbabit dengan program Duta Jauhar.

“Kerajaan negeri berpendapat sudah sampai masa kita melihat bukan sahaja soal memberi bantuan kebajikan, malah mengadakan program yang membangunkan keupayaan masyarakat.

“Ini juga memenuhi pendekatan yang diambil oleh kerajaan negeri ke arah pembangunan yang inklusif untuk rakyat,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Sesi Taklimat Projek Ekonomi Rakyat Johor, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Asiah Md Ariff.

Mohamed Khaled berkata, projek di bawah Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Takzim yang dipantau Jabatan kebajikan Masyarakat itu membabitkan projek tanaman cili fertigasi, cendawan tiram kelabu, madu lebah kelulut dan pembuatan ais krim.

Katanya, inisiatif seumpama ini diperlukan masyarakat, terutama golongan berpendapatan rendah, ibu tunggal mahupun warga tua, sekali gus memupuk amalan untuk bekerja kuat dan tidak hanya mengharapkan bantuan kerajaan.

“Kerajaan negeri hanya sebagai pemudah cara. Bantuan kebajikan tetap akan diberi, namun kita harap dapat mencari lebih banyak projek dan pengisian yang membawa manfaat kepada masyarakat.

“Akhirnya Johor akan berjaya sekiranya dapat membabitkan masyarakat menerusi keusahawanan, selain kerjasama koperasi yang ditubuhkan untuk memasarkan jenama produk tempatan,” katanya – berita harian