SITIAWAN: Hampir RM100,000 peruntukan yang merupakan bantuan awal diagihkan kepada 194 mangsa ribut di daerah Hilir Perak yang berlaku Isnin lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air Negeri Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, setiap mangsa menerima antara RM200 hingga RM2,000.

Menurut beliau, bantuan ehsan itu disalurkan melalui Tabung Bencana Daerah yang penubuhannya diilhamkan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

912437ee-ee94-4444-ad81-982e20adbf19

Bagaimanapun, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manik berkata, terdapat mangsa yang salah faham kerana menganggap kerajaan akan membantu sepenuhnya.

“Bantuan ehsan ini adalah untuk meringankan sebahagian beban yang ditanggung oleh mangsa, bukannya keseluruhan,” katanya kepada pemberita selepas menyertai program gotong royong & ziarah kasih Perakfm di Kg Sitiawan, dekat sini, pada Jumaat.

Hadir sama ADUN Pasir Panjang, Datuk Rashidi Ibrahim, Pengarah Penyiaran Negeri Perak, Sabri Mansor dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Bina Upaya, Datuk Ismail Saffian.

Pada majlis itu, Zainol Fadzi bersama-sama kakitangan RTM Perak dan sukarelawan Jabatan Kebajikan Masyarakat mengecat dan membersihkan rumah penerima bantuan JKM, Faridah Said.

Faridah, 52, seorang ibu tunggal tidak mempunyai pekerjaan dan hanya mengharapkan bantuan anak-anak serta JKM di samping mengidap penyakit diabetes.

Zainol Fadzi berkata, program gotong royong untuk membantu golongan yang kurang bernasib baik memang cukup dengan Menteri Besar.