ALOR SETAR: Seramai 198 pemilik motosikal disaman polis trafik dalam Op Samseng Jalanan sempena Op Selamat di sekitar bandar ini, awal pagi tadi.

Pegawai Turus Penguatkuasa Trafik Kedah, Asisten Superintendan Amir Meor Md Khalil, berkata daripada jumlah itu, sebanyak 16 motosikal disita dalam operasi bermula jam 1 hingga 5 pagi tadi.

Katanya, pihaknya juga memeriksa 285 individu membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal.

“Daripada 240 motosikal yang diperiksa, 198 daripadanya disaman. Kita mengenal pasti 217 kesalahan membabitkan lesen tamat tempoh, tiada lesen memandu, nombor plat tidak mengikut spesifikasi, tiada cermin sisi dan cukai jalan tamat tempoh.

“Kesalahan paling banyak dilakukan ialah nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi iaitu 56 kes,” katanya menerusi satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, tiada tangkapan dilakukan pihaknya dan ujian air kencing terhadap 25 individu juga bebas daripada pengaruh dadah.

“Operasi dijalankan membabitkan 52 anggota yang dari Trafik Kota Setar dan Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, selain turut dibantu Unit Rondaan Bermotosikal (URB), Unit Kereta Peronda (MPV) serta unit-unit lain,” katanya.