IPOH: Sebanyak 199 projek pembangunan luar bandar di seluruh negara tidak akan dihentikan kerana ia memberi manfaat kepada rakyat.

Keputusan itu dibuat hasil kajian semula oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar dengan kerjasama Kementerian Kewangan dan Unit Perancang Ekonomi (EPU).

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Rina Mohd Harun berkata, di Perak sahaja, sebanyak 41 projek akan diteruskan yang melibatkan peruntukan RM191 juta.

Menurut beliau, antara projek itu ialah kalau menaiktaraf jalan dari Simpang Raban ke Pengkalan Pipit yang bernilai RM20 juta dan jalan baru dari Kamunting ke Anak Kurau yang melibatkan puluhan juta.

“Kalau ikutkan sebelum ini, kita kaji semua dalam tempuh dua bulan, jadi di negeri-negeri lain akan ada beberapa projek akan diteruskan, bukan hanya di Perak sahaja,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu di sini pada Selasa.

Menurut Rina, KPLB juga akan memohon peruntukan tambahan untuk bajet tahun hadapan.

Bagaimanapun, kata beliau, ia bergantung kepada keadaan kewangan negara yang dikatakan agak terhad sekarang.

Mengenai penambahbaikan MARA pula, tumpuan akan diberikan kepada bidang pendidikan dan keusahawan kerana kedua-duanya mampu mengubah taraf hidup rakyat.

Sementara itu, Ahmad Faizal mengucapkan terima kasih kepada kementerian kerana meneruskan 41 projek yang tertangguh, semata-mata untuk memberi manfaat kepada rakyat.