PUTRAJAYA: Bekas Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said tiba di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kira-kira jam 9.30 pagi tadi untuk memberi keterangan berkaitan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijal tiba dengan menaiki sebuah kereta jenis Audi dipandu ahli keluarganya.

Ahmad Said sebelum ini menyatakan kesediaan bagi membantu siasatan terhadap laporan rasuah dan penyelewengan membabitkan 1MDB.

1MDB bermula sebagai Badan Kuasa Pelaburan Terengganu (TIA), iaitu sebuah tabung kekayaan berdaulat yang bertujuan memberi pembangunan ekonomi kepada negeri Terengganu untuk jangka masa panjang dan melestarikan sosio-ekonomi rakyat negeri itu secara amnya.

Ia ditubuhkan pada 2008 dan kemudiannya bertukar taraf kepada koperasi perbadanan diberi nama 1MDB pada Januari 2009.

Semalam, seorang bekas pegawai khas kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung kes 1MDB – berita harian