KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata keselamatan Low Taek Jho atau Jho Low terjamin jika ahli perniagaan dalam buruan itu kembali ke Malaysia untuk membantu siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau berkata, dakwaan kononnya ahli perniagaan itu akan ditahan, diseksa dan dibunuh sekiranya pulang adalah tidak benar sama sekali.

“Jaminan keselamatan yang sama juga akan diberikan kepada keluarga Jho Low dan enam lagi individu dikehendaki pihak berkuasa bagi membantu siasatan kes 1MDB.

“Malaysia mempunyai undang-undang, balik ke negara ini jika tidak bersalah dan jangan guna peguam untuk keluarkan kenyataan serta membuat penafian.

“Jho Low dan rakannya boleh pulang ke Malaysia bersama peguam terbaik untuk membela mereka, jangan ingat boleh lari selamanya,” katanya selepas melancarkan Op Selamat 15/2019 sempena Hari Raya Aidilfitri di sini, hari ini.

Beliau juga mengulangi pihaknya mengetahui lokasi sebenar ahli perniagaan yang diburu itu berada namun tidak akan mendedahkannya kepada media.

“Kami tahu tempat persembunyian Jho Low dan rakannya dan polis menggunakan sumber yang ada termasuk bekerjasama dengan pihak berkuasa luar untuk mengesannya.

“Polis juga tahu di mana Pengarah SRC International Sdn Bhd (SRC International) Nik Faisal Ariff Kamil Nik Othman Arif Kamil berada,” katanya.

Abdul Hamid berkata, kes 1MDB menjadi keutamaan beliau sejak memegang jawatan Ketua Polis Negara awal bulan ini.

Mengulas mengenai serbuan di firma juruaudit, Deloitte Malaysia semalam, Abdul Hamid berkata, pihaknya sedang mengumpul beberapa dokumen yang dipercayai ada kaitan dengan siasatan penyelewengan dana 1MDB – Berita harian