PUTRAJAYA: Pasukan Petugas Khas 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Malaysia dan Singapura bersetuju untuk bekerjasama membawa pulang sejumlah wang kerajaan Malaysia yang dipercayai diseleweng daripada 1MDB.

Perkara itu diputuskan pada mesyuarat antara Pasukan Petugas Khas 1MDB dua negara itu di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini, pagi tadi.

Pasukan Petugas Khas 1MDB memaklumkan, kerjasama antara kedua-dua pihak juga bertujuan mengumpul bahan bukti dan mengesan saksi di Singapura secepat mungkin.

“Selain itu, pasukan ini juga akan melakukan ‘money trail’ (pengesanan wang) bagi mengesan wang serta aset yang masih wujud,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pasukan Petugas Khas 1MDB berkata, mesyuarat hari ini dihadiri sembilan pegawai kanan pasukan siasatan Singapura terdiri daripada wakil Pejabat Peguam Negara Singapura, Jabatan Hal Ehwal Komersial Singapura dan Autoriti Kewangan Singapura (MAS).

Sementara itu, pihak Malaysia diwakili Pasukan Petugas Khas 1MDB terdiri daripada Pejabat Peguam Negara, SPRM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Bank Negara Malaysia (BNM).

Pasukan Petugas Khas 1MDB Malaysia dianggotai bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail; bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed; Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull dan Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Abdul Hamid Bador – berita harian