KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) akan mendapatkan penjelasan lanjut daripada bekas firma audit bagi 1Malaysia Development Bhd (1MDB), iaitu KPMG Malaysia yang mendapati penyata kewangan bagi tahun 2010 hingga 2012 tidak tepat.

SSM dalam kenyataannya berkata, selaku badan kawal selia korporat yang menguatkuasakan Akta Syarikat 2016 (dahulunya Akta Syarikat 1965) memandang serius kenyataan KPMG Malaysia itu.

SSM juga akan memastikan tindakan segera dan yang sewajarnya diambil bagi memastikan pematuhan kepada Akta Syarikat 2016.

Tindakan itu termasuk mengarahkan pihak-pihak yang berkaitan untuk mengambil langkah pembetulan ke atas maklumat-maklumat kewangan yang telah dilaporkan kepada Pendaftar Syarikat.

SSM ingin menegaskan aspek pematuhan kepada penyediaan laporan kewangan beraudit yang telus serta mematuhi peruntukan Akta Syarikat 2016 adalah aspek penting dalam amalan tahap tadbir urus korporat yang tinggi dan terbaik di kalangan komuniti korporat.

KPMG bertanggungjawab bagi akaun 1MDB pada 2010, 2011 dan 2012 manakala Deloitte menguruskan penyata kewangan 2013 dan 2014.

Semalam, KPMG mengeluarkan kenyataan dengan berkata penyata kewangan bagi tahun kewangan berakhir Mac 2010, 2011 dan 2012 tidak memberi penilaian sebenar dan adil ke atas 1MDB.

Syarikat perkhidmatan profesional itu juga telah memaklumkan 1MDB supaya melaksanakan semua langkah perlu untuk mengelakkan daripada sebarang pergantungan lanjut ke atas laporan audit itu yang disediakannya bagi tempoh masing-masing.

Deloitte adalah juruaudit ketiga 1MDB selepas Ernst & Young LLP dan KPMG.

Pada 2016, Deloitte meletakkan jawatan berikutan skandal kewangan membelenggu firma pelaburan strategik kerajaan itu mempunyai terlalu banyak hutang membabitkan sistem kewangan global – berita harian