Dua anggota polis termasuk seorang pegawai berpangkat Inspektor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh, atas tuduhan memperolehi suapan berjumlah RM8,000, dua tahun lalu.

Tertuduh, Koperal V Ravi Chandran, 49, dan Inspektor Mohd Faizal Fauzi, 34, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim S.Indera Nehru.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh secara bersama menerima suapan berjumlah RM8,000 daripada K Premnath bagi menutup siasatan narkotik terhadapnya dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Mereka melakukan kesalahan itu antara jam 7.40 dan 7.55 malam di Maybank cawangan Jelapang pada 2 September 2014.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

anggota-polis-2
Indera Nehru kemudiannya membenarkan jaminan RM10,000 bagi setiap tertuduh dan menetapkan 14 Disember ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Wahida manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam K Nahtan.