GOMBAK: Dua beradik lelaki Rohingya maut diserang tujuh warga Myanmar termasuk seorang ustaz sekolah tahfiz pada Jumaat lalu berhubung insiden seorang anak murid sekolah itu yang ditampar pada bulan lalu.

Chaw Kat Ali Imran Ali, 33, dan abangnya, Mohamed Ali, 45, iaitu bapa saudara kepada murid berkenaan, yang diserang dengan parang, kapak dan besi, kira-kira jam 11 pagi, meninggal dunia di Hospital Selayang, pada hari yang sama.

Mereka adalah pemegang kad Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi pelarian (UNHCR).

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner R Munusamy, berkata berikutan kejadian itu, polis menahan seorang lelaki Myanmar yang bekerja di sekolah tahfiz di Ampang Campuran, Ampang, kira-kira jam 5 petang pada hari yang sama bagi membantu siasatan.

Polis sedang mengesan enam lagi warga Myanmar bagi membantu siasatan

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya di sini, hari ini.

Munusamy berkata, kejadian dipercayai berpunca daripada seorang daripada tujuh suspek berdendam dengan keluarga murid itu yang mempertikaikan tindakan pengajar sekolah tahfiz itu menampar anaknya yang berusia 12 tahun pada awal Ogos lalu.

Katanya, ustaz berkenaan pergi bersama enam lelaki ke rumah anak muridnya di Taman Wilayah dan mencari bapa budak itu yang dikenali sebagai Mohamad Yusof.

Siasatan awal mendapati kumpulan itu turut membawa senjata tajam dan mungkin mempunyai motif untuk membunuh.

“Ketika mencari Mohamad Yusof, mereka terserempak dengan adik beradiknya, Chaw Kat Ali dan Mohamed Ali.

“Pada awalnya, perbualan mereka dalam keadaan baik sebelum kumpulan lelaki itu menyerang menggunakan senjata yang disembunyikan dalam jubah,” katanya.

Kejadian itu turut disaksikan beberapa ahli keluarga mangsa tetapi mereka tidak dicederakan. Ketika kejadian itu, Mohamad Yusof berada dalam rumahnya.

Beliau berkata, semua lelaki itu melarikan apabila beberapa penduduk di situ keluar melihat kejadian berkenaan.

Mereka melarikan diri dengan menaiki sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Toyota Avanza berwarna hijau dan sebuah Proton Waja berwarna perak.

“Kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Selayang oleh penduduk. Chaw Kat meninggal dunia sebaik tiba di hospital kira-kira jam 12 tengah hari, manakala Mohamed Ali pada jam 9 malam hari yang sama.

Jenazah dua beradik itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Lagong di sini, hari ini – berita harian