PADAWAN : Dua beradik maut selepas motosikal yang mereka naiki merempuh belakang sebuah lori di Batu 21, Jalan Kuching – Serian, pagi tadi.

Dalam kejadian pada jam 6.15 pagi itu, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, kejadian itu berlaku ketika sebuah lori yang dipandu lelaki berusia 32 tahun dalam perjalanan dari arah Serian menghala ke Kuching.

Beliau berkata, setibanya di lokasi kejadian, sebuah motosikal yang dinaiki dua beradik itu datang dari arah belakang lalu merempuh lori berkenaan.

“Penunggang motosikal, Chile Brownson Jika, 21 dan abangnya yang membonceng motosikal itu, Beraina Jika, 26, mengalami kecederaan parah di kepala serta badan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mayat mereka dihantar ke Hospital Umum Sarawak dan dijangka dibedah siasat pada jam 2 petang ini,” katanya.

Alexson berkata, pemandu lori dan kelindannya yang berusia 23 tahun tidak mengalami kecederaan.

“Bagaimanapun, pemandu lori itu ditahan di Balai Polis Siburan bagi mendapatkan perintah remah untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya – berita harian