GERIK – Dua beradik berusia lapan dan enam tahun menjadi yatim piatu sekelip mata apabila ibu bapa mereka terbunuh dalam kemalangan di Kilometer 12, Jalan Raya Timur Barat, Gerik-Jeli di sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 7.05 pagi itu, Muhammad Fazil Muhamad, 34, yang parah di kepala meninggal dunia di tempat kejadian manakala isterinya, Saadiah Mohd. Rezal, 31, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Gerik.

Dua anak pasangan itu, Nurul Syazwani Amani, 8, cedera di kaki kanan manakala adiknya, Nurul Syazwana Ariyana, 6, tidak cedera.

Ketua Polis daerah, Superintenden Ismail Che Isa berkata, ketika kejadian, lori dipandu Muhammad Fazil itu dalam perjalanan dari arah Jeli ke Gerik.

Menurutnya, apabila sampai di tempat kejadian, kenderaan dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri jalan dan terbalik di dalam longkang.

“Akibat kemalangan itu, pemandu kenderaan tersepit dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecedera­an parah di kepala,” katanya di sini hari ini – Utusan Online