PENGKALAN HULU: Dua beranak maut selepas lori yang membawa muatan sekam padi dinaiki mereka terbabas masuk ke dalam gaung sedalam 50 meter di Kilometer 15.3 Jalan Pengkalan Hulu-Gerik di sini pagi tadi.

Dalam kemalangan jam 9.15 pagi itu, pemandu lori, Sharul Anuar Abdul Hamid, 46, dan anaknya, Mohd Ikhmal Sharul Anuar, 20, maut di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Pengkalan Hulu, Deputi Superintendan Raduan Mohamad, berkata siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa dalam perjalanan dari Pengkalan Hulu menghala ke Gerik.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, pemandu lori dipercayai gagal mengawal kenderaan ketika menuruni bukit sebelum terbabas.

“Berikutan itu, lori dipandu mangsa merempuh penghadang di tepi jalan sebelum memasuki gaung sedalam 50 meter manakala kedua-dua mangsa tercampak di bahu jalan.

“Pemandu dan kelindan lori itu disahkan maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Raduan berkata, kedua-dua mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Gerik untuk bedah siasat.

“Siasatan di lokasi kejadian mendapati jalan raya dua hala itu berselekoh dan menuruni bukit.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.