SUNGAI PETANI: Dua sahabat berdepan hukuman mati selepas didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan membunuh seorang lelaki, awal bulan ini.

M Rinishwaran, 19, dan Sharudin Hassan Sha, 31, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Adibah Husna Zainal, namun tiada pengakuan direkodkan.

Tertuduh didakwa dengan niat bersama membunuh E Muniandy, 53, di LA Motel, Jalan Kelab Cinta Sayang, Taman Bandar Baru di sini, 4 Mac lalu.

Perbuatan itu didakwa Rinishwaran dan Sharudin antara jam 6.10 petang hingga 9.45 malam.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum mandatori gantung sampai mati.

Prosiding kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Rifaei Mohamed Riyaludin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 24 April ini untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat dan kimia manakala kedua-dua tertuduh tidak dibenar ikat jamin.

Dalam kejadian 4 Mac lalu, Muniandy ditemui mati di sebuah bilik hotel di Taman Bandar Baru di sini.

Mangsa yang berasal dari Kajang, Selangor, dilaporkan tiba di hotel itu jam 6 petang bersama rakannya.

Kira-kira jam 8 malam, pekerja hotel mendakwa mendengar bunyi orang bergaduh di bilik berkenaan sebelum melihat rakan mangsa keluar.

Kedua-dua suspek kemudian ditahan enam jam selepas insiden berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) hotel.

Difahamkan, tindakan suspek itu berpunca daripada kehilangan telefon bimbit – berita harian