KOTA TINGGI: Dua bot pukat tunda yang menyamar sebagai bot kargo tempatan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di kedudukan 31 batu nautika timur Tanjung Sedili, di sini, petang kelmarin.

Kedua-dua bot itu ditahan kapal peronda Maritim Malaysia yang melakukan Ops Pagar Laut 1/2018 ketika mereka leka menangkap ikan menggunakan pukat tunda, antara jam 4.30 dan jam 5.10 petang.

Pemangku Ketua Zon Maritim Tanjung Sedili, Komander Maritim Mohd Zulfadli Nayan, berkata seramai 20 awak-awak termasuk dua tekong turut ditahan dalam operasi itu.

Katanya, semua 22 yang ditahan berusia antara 14 tahun hingga 53 tahun, warganegara Vietnam dan ada dalam kalangan mereka tidak memiliki dokumen pengenalan diri.

“Jumlah keseluruhan rampasan kedua-dua bot bernilai hampir RM7 juta termasuk bot, hasil tangkapan laut, diesel dan peralatan menangkap ikan.

“Kedua-dua bot mempamerkan ciri-ciri bot kargo tempatan tetapi menggunakan 100 peratus kru Vietnam. Tekong bot juga gagal mengemukakan dokumen sah.

“Kita akan siasat sama ada dua bot ini adalah bot kargo tempatan atau bot nelayan asing kerana taktik mempamerkan ciri kapal tempatan selalu digunakan bot nelayan asing bagi mengabui pihak berkuasa negara ini,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Mohd Zulfadli berkata, bot terbabit didapati turut menangkap sotong untuk dijadikan sotong kering yang bernilai tinggi di Vietnam.

“Kedua-dua bot akan dibawa ke Jeti Zon Maritim Tanjung Sedili bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 15 dan 16 Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran.

“Sabit kesalahan, setiap tekong boleh didenda RM1 juta, manakala awak-awak didenda RM100,000 seorang atau penjara tidak melebihi dua tahun, selain bot boleh dilucutkan hak,” katanya – berita harian