MELAKA: Dua bekas guru pusat asuhan kanak-kanak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, hari ini atas tuduhan mendera empat kanak-kanak di sebuah Pusat Perkembangan Kanak-Kanak (PPKK), hujung bulan lalu.

Rozana Sawal, 41, dan Nor Sulastri Suratmi Bahrom, 22, masing-masing berdepan dua pertuduhan membuat pengakuan itu dalam prosiding yang dijalankan serentak di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin.

Bagi pertuduhan pertama, Rozana didakwa menganiaya secara fizikal dengan menampar pipi seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun sehingga terjatuh dari kerusi tempat duduknya.

Pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menampar pipi seorang lagi kanak-kanak lelaki berusia lima tahun sebanyak dua kali.

Nor Sulastri pula didakwa mengasari seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun dengan mengangkat dan meletakkan kanak-kanak itu di atas leher seorang kanak-kanak lelaki sambil mencubit mangsa.

Pertuduhan kedua, tertuduh didakwa mengasari seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun dengan mengangkat dan menggigit tangannya.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan kedua-dua tertuduh di Cawangan PPKK Seri Bijak Bestari, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, antara jam 9 hingga 11 pagi pada 30 Julai lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya.

Tertuduh juga boleh ditambah hukuman menyempurnakan bon dengan penjamin untuk berkelakuan baik selama tempoh dan syarat yang ditetapkan mahkamah, selain melaksanakan khidmat masyarakat.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Siti Ruvinna Mohd Rawi mencadangkan mahkamah tidak menawarkan jaminan terhadap kedua-dua tertuduh kerana bimbang saksi pendakwaan diganggu dan kes itu mendapat perhatian umum sehingga tular, namun mencadangkan RM30,000 bagi setiap pertuduhan jika mahkamah mahu membenarkan jamin.

Bagaimanapun, peguambela Rozana, Zarin Mohd Zin dan peguambela Nor Sulastri, Farid Aziz memohon anak guam mereka dibenarkan ikat jamin dan dengan jumlah yang rendah serta menolak kes yang menjadi tular itu diambil kira.

Mohd Nasir kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh dikenakan jaminan RM5,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan syarat perlu melapor diri ke balai polis berhampiran setiap bulan, selain dilarang mendekati saksi.

Mahkamah turut menetapkan 26 September depan sebagai sebutan semula kes dan kedua-dua perbicaraan berjalan serentak kerana menggunakan saksi dan pengadu yang sama – barita harian