KUALA KANGSAR: Dua lelaki warga Myanmar maut selepas motosikal dinaiki dirempuh lori di Kilometer 68 Jalan Ipoh-Gerik, berhampiran Sekolah Kebangsaan Kati di sini, malam tadi.

Dalam nahas jam 7.40 malam itu, penunggang motosikal, Emran Amnullah, 18, dan pembonceng, Mohd Yusof Mohd Khalil, 54, meninggal dunia di lokasi, manakala pemandu lori berusia 33 tahun tidak mengalami kecederaan.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Ahmad Termizi Abdul Haq, berkata siasatan awal mendapati mangsa yang dalam perjalanan dari Kati menghala Kuala Kangsar, gagal mengawal motosikal sehingga terbabas ke laluan bertentangan, lalu bertembung dengan lori.

“Akibat kemalangan itu, kedua-dua mangsa tercampak ke atas jalan raya dan meninggal dunia di lokasi,” katanya ketika dihubungi oleh Suara Perak.

Mayat dua mangsa dihantar ke Hospital Kuala Kangsar untuk bedah siasat.

Polis meminta orang awam yang mempunyai maklumat berhubung nahas itu supaya tampil memberi maklumat untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, tambah beliau.