PULAU PINANG : Dua lelaki ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam kejadian samun melibatkan seorang lelaki berusia 33 tahun yang turut dipukul sehingga koma dalam kejadian di sebuah kondominium di Lebuh Sandilands, Georgetown, di sini Jumaat lalu.

Kedua-dua suspek berusia 26 dan 23 tahun itu ditahan di sekitar Georgetown di sini awal pagi kelmarin selepas polis menerima laporan kejadian melibatkan seorang peniaga yang ditemukan terbaring dalam keadaan cedera parah di kawasan letak kenderaan kondominium berkenaan.

Menurut Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang, semakan kamera litar tertutup (CCTV) mendapati, ketika kejadian mangsa dihampiri tiga lelaki yang menaiki dua buah motosikal.

Katanya, salah seorang suspek kemudiannya memukul mangsa menggunakan objek disyaki kayu sehingga rebah sebelum melarikan barang milik mangsa termasuk dompet dan telefon bimbit di lokasi kejadian.

Tambah beliau, mangsa yang cedera parah ditemukan orang awam yang melalui kawasan itu sebelum dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP).

“Mangsa mengalami kecederaan patah tulang muka dan pendarahan di dalam otak dan kini masih tidak sedarkan diri dan dirawat di HPP,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Che Zaimani, siasatan awal mendapati kedua-dua yang ditahan mengaku terlibat dalam kejadian itu bersama seorang lagi rakan mereka yang masih bebas.

Katanya, ujian air kencing ke atas suspek juga mendapati mereka positif dadah jenis methapethamine selain kedua-duanya turut mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan dadah.

Tambah beliau, polis kini juga masih mengenal pasti punca sebenar kejadian sama ada hanya melibatkan kes samun jalanan atau turut mempunyai motif lain.

“Seorang lagi suspek yang masih bebas juga sudah dikenal pasti dan kini sedang diburu dan kedua-dua suspek yang berjaya ditahan akan direman untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan,” katanya.

– UTUSAN ONLINE