CAMERON HIGHLANDS: Dua dikhuatiri maut dan seorang lagi hilang dalam kejadian tanah runtuh di Batu 49, Kampung Tiga, Kuala Terla, di sini, hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cameron Highlands, Mohd Hilmi Kashfi Mat Zali, berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian pada jam 11.03 pagi dan menghantar dua jentera daripada BBP Cameron Highlands dan Ringlet ke lokasi kejadian.

Menurutnya, berdasarkan maklumat awal yang diperoleh, kejadian itu membabitkan lereng bukit yang runtuh dan menimpa sebuah rumah.

“Maklumat awal mengatakan terdapat dua wanita dewasa warga asing dipercayai maut akibat kejadian itu dan seorang lelaki dewasa masih hilang.

“Kesemua mangsa dipercayai warga Myanmar dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) sedang dijalankan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mohd Hilmi berkata, setakat ini kekuatan anggota di lokasi kejadian adalah seramai 15 anggota dan akan ada pertambahan termasuk beliau sendiri dalam perjalanan ke tempat kejadian.

“Lokasi kejadian adalah kira-kira 15 kilometer daripada jalan utama di Kampung Terla dan ia membabitkan sebuah rumah yang berada di lereng bukit.

“Keadaan cuaca ketika ini tidak hujan, hanya mendung,” katanya – berita harian