SHAH ALAM: Dua lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan menerima rasuah RM3,000 bagi mengeluarkan sijil ijazah palsu sebuah universiti swasta, awal tahun lalu.

C Vijayakumar dan Mark Aaron Pious, masing-masing berusia 34 tahun, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Berdasarkan pertuduhan, Vijayakumar yang bekerja sebagai eksekutif jualan dan Mark Aaron seorang peniaga, didakwa dengan niat bersama menerima rasuah berjumlah RM3,000 daripada Muhammad Amir Safwan Rusli.

Ia sebagai upah mendapatkan sijil Diploma Pentadbiran Perniagaan daripada sebuah universiti swasta atas nama Muhammad Amirul Hakim Rusli tanpa mengikut prosedur pembelajaran yang betul.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di dalam kereta Hyundai Accent di tempat parkir sebuah pusat beli-belah di Kawasan Institusi Bangi pada jam 3.30 petang 25 Januari 2018.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Percegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum mengikut Seksyen 24 Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan penjara hingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nor Ameelyna Zaini, mencadangkan tertuduh masing-masing dijamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Bagaimanapun, Rozilah memutuskan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM5,000 setiap seorang dan menetapkan 9 April ini untuk sebutan semula kes.

Vijayakumar diwakili peguam bela, Syed Amirul Syed Edros, manakala Mark Aaron pula tiada diwakili peguam.

Pada 30 Januari lalu, Vijayakumar turut mengaku tidak bersalah di mahkamah sama atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah berkaitan pemalsuan ijazah sarjana muda dari sebuah universiti swasta, tahun lalu – Berita harian